Panduan Hadapi Temu Duga



Selepas resume dihantar untuk memohon sesuatu pekerjaan, pastinya sesi temu duga akan menyusul sebagai saringan sebelum permohonan pekerjaan yang dipohon diterima atau sebaliknya.

Sesi temu duga adalah proses paling penting ketika memohon pekerjaan kerana ketika ini majikan menilai potensi dan kebolehan calon serta hal inilah peluang keemasan calon untuk mempromosikan diri agar jawatan yang ditawarkan tidak terlepas ke tangan orang lain.

Ketika sesi temu duga, pelbagai reaksi yang dihadapi calon yang kadang kala menjadi faktor mereka kehilangan jawatan yang dipohon walaupun mempunyai kelayakan yang menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh majikan.

Kebiasaannya, penyediaan resume yang terlalu panjang dengan pelbagai maklumat yang tidak berkaitan adalah salah satu faktor yang menyebabkan permohonan ditolak.

Sikap calon yang mengambil mudah ketika menghadiri sesi temu duga kerana yakin mampu memperoleh jawatan itu sehingga menganggap temu duga sekadar perbualan biasa juga mengundang risiko kepada calon. 

Selain itu, kebanyakan calon akan berasa 'seram sejuk' apabila tiba masa untuk ditemu duga sehingga rasa gementar itu boleh mempengaruhi tumpuan menjawab soalan yang diajukan dengan baik.

Lebih memburukkan keadaan jika penemu duga merupakan seorang yang tidak mesra dan melayan calon dengan sikap kasar serta dingin.

Oleh itu, petua ini boleh dijadikan panduan kepada calon agar dapat mengelak daripada melakukan kesilapan sebelum dan sepanjang sesi temu duga.

Cuba elakkan resume yang terlalu panjang dengan pelbagai maklumat yang tidak berkaitan dan cukup hanya dengan dua muka surat tetapi maklumat di dalamnya ringkas dan padat.

Elemen lain yang perlu diberikan perhatian ialah ketepatan masa, etika pemakaian, penampilan dan kekemasan serta kesalahan kecil sepanjang proses temu duga.

Calon juga perlu berhati-hati mengeluarkan perkataan dan menjawab soalan yang diutarakan penemu duga kerana semuanya akan dinilai. Seeloknya, berfikir sebaik mungkin sebelum membalas percakapan penemu duga.

Bagi mengatasi penemu duga yang bersikap kasar pula, petua terbaik yang boleh dijadikan panduan kepada calon adalah dengan sentiasa berfikiran terbuka.

Calon boleh menganggap kemungkinan sikap kasar itu sebagai satu ujian daripada penemu duga sama ada calon itu mampu bekerja dalam tekanan kerja yang tinggi serta bijak berhadapan dengan orang yang pelbagai ragam.

Di samping itu, cara menjawab soalan yang diajukan dengan penuh yakin dan tidak terganggu walaupun berhadapan dengan situasi sukar dapat membantu penemu duga melihat calon sebagai seorang profesional, matang dan boleh diharap.

Calon juga boleh mengutarakan soalan yang mungkin boleh membantu menimbulkan semula minat penemu duga kepada sesi temu duga, sekiranya penemu duga kelihatan bosan.

Selain itu, calon perlu mengekalkan sikap bersopan-santun sepanjang sesi temu duga biarpun diasak dengan komen yang kasar termasuklah ketika meninggalkan bilik temu duga.

Setiap penemu duga berbeza, oleh sebab itu adalah baik jika calon dapat membuat persediaan berhadapan dengan pelbagai jenis sikap penemu duga terutama yang cerewet.

Latihan dapat membantu membina keyakinan dan menyediakan diri untuk berhadapan dengan sebarang situasi negatif dengan tenang. Lebih-lebih lagi, hal ini adalah penting ketika berada dalam bilik temu duga. Akhir kalam, latihan meningkatkan kemahiran.




Petua Berguna  


1. Elakkan resume yang terlalu panjang. 

2. Calon perlu menepati masa, etika pemakaian, penampilan dan kekemasan ketika temu duga. 

3. Berhati-hati mengeluarkan perkataan dan menjawab soalan yang utarakan. 

4. Berfikir sebaik mungkin sebelum membalas percakapan penemu duga. 

5. Ketika berhadapan dengan sikap penemu duga yang kasar, tarik nafas, bersikap tenang dan berfikir secara positif. 

6. Fikirkan bahawa sikap penemu duga tidak mewakili keseluruhan syarikat terbabit.
 
7. Calon perlu berfikiran terbuka dan tidak memberi perhatian terhadap sikap negatif penemu duga sebaliknya menjawab soalan dengan baik dan tonjolkan kebolehan diri. 

8. Kekalkan sikap sopan santun sepanjang sesi temu duga biarpun diasak dengan komentar yang kasar. 

9. Buatlah persediaan untuk berhadapan dengan pelbagai jenis perangai penemu duga terutama yang cerewet. 

10. Latih diri untuk membina keyakinan diri dan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang situasi negatif. 

Sumber: 1klassifieds


0 reaksi:

Post a Comment














Almanak

Jom Solat

Mahakarya Nan Indah










Zulkifli - Yang Punya Kesanggupan

ZULKIFLI
ZZingy
UUntung
LLemah-lembut
KKomited
IIkhlas
FFleksibel
LLincah
IIdealistik
Apa ada pada nama?

Contributors

Pengikut Setiaku

Tetamu Dalam Talian

free counters
Powered By Blogger