Ladang Buah Rasulullah

Terlalu banyak sunah Nabi Muhammad SAW yang menceritakan buah-buahan. Suatu misteri dan menakjubkan tanpa pengetahuan saintifik yang menyeluruh. Rasulullah SAW dapat mengetahui zat dan manfaat serta mudarat pemakanan buah-buahan seolah-olah baginda mempunyai makmal pemakanan di rumah. Banyak daripada pengetahuan pemakanan tersebut yang hanya mutakhir ini baru diketahui dan dibuktikan oleh sains.

Antara yang selalu disebut khasiatnya oleh baginda ialah buah tamar. Buah tamar daripada sejenis pokok palma bernama Phoenix dactylifera. Terdapat pelbagai jenis tamar dan dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu basah lembut (seperti tamar "Medjool"), jenis separa kering (seperti tamar "Zahidi") dan jenis rangup kering (seperti tamar "Thoory"). Sifat kelembutan dan kedangkalan tamar bergantung pada kandungan glukosa, fruktosa dan sukrosa, iaitu gula-gula semula jadi yang wujud di dalamnya.

Menurut hadis yang dinyatakan oleh Bukhari dan Muslim, Aisyah, isteri Rasulullah berkata, "Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada hanyalah buah tamar dan air." Dalam riwayat yang ditulis pula oleh Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Apabila berbuka puasa, bukalah dengan buah tamar. Apabila tidak memperoleh buah tamar, berbukalah dengan air kerana air itu pembersih." Imam Bukhari dan Muslim turut mengatakan Abdullah bin Jaafar memberitahu, "Saya melihat Rasulullah SAW memakan tamar basah dan sayur daripada jenis mentimun."




Kini, memang sudah dibuktikan oleh kajian saintifik bahawa tamar mempunyai kandungan tanin yang tinggi, membuatkannya bersifat pembersih masalah perut dan usus. Tamar turut dijadikan sirap untuk mengubat sakit tekak, selesema, batuk dan demam. Selain itu, tamar juga mengandungi pelbagai mineral seperti kalium, boron, kalsium, ferum, magnesium, fosforus, zink, dan flourida yang dapat membantu meningkatkan kesihatan gigi. Selenium di dalam tamar juga dikatakan dapat mencegah kanser.

Rasulullah SAW juga sering mengamalkan amalan tahnik ke atas bayi yang baru lahir dengan menggunakan seulas tamar. Perbuatan tahnik dilakukan dengan mengusap lelangit mulut bayi tersebut dengan tamar yang lembut. Imam Bukhari dan Muslim pernah mencatat sepotong hadis daripada Abu Musa yang mengatakan, "Aku dikurniai seorang anak. Lalu aku membawanya kepada Nabi dan baginda menamakannya Ibrahim. Kemudian, baginda melakukan tahnik dengan menggunakan buah tamar serta mendoakannya dengan keberkatan. Selepas itu, baginda menyerahkannya semula kepadaku."

Dalam sebuah hadis lain, Imam Bukhari dan Muslim, Anas bin Malik berkata, "Nabi mengambil buah kurma dan dimamahnya. Kemudian dimasukkan tamar ke dalam mulut anak itu dan diputar-putarkannya. Sesudah itu, Nabi menamakan anak itu dengan nama Abdullah."




Pasti anda tertanya-tanya kesan mengulas mulut bayi dengan kurma lembut. Tentu perbuatan itu dianggap tidak akan memberikan kesan yang banyak. Walau bagaimanapun, hal yang menjadi misteri ialah kajian saintis membuktikan bahawa apabila tahnik dilakukan, bayi akan kurang menangis. Rupa-rupanya tamar dapat menenangkan bayi dan menumpulkan deria sakitnya. Sungguh menakjubkan.

Kandungan gula sukrosa di dalam tamar mampu mengurangkan tangisan bayi. Kajian tentangnya dilakukan oleh Nora Haouari, Christopher Wood, Gillian Griffiths dan Malcolm Levene di England terhadap 60 orang bayi berumur antara sehari hingga enam hari. Bayi tersebut diberikan 2 miligram larutan gula sukrosa melalui mulut. Sebagai perbandingan, sebiji tamar mengandungi sekitar 60 peratus gula. Selepas itu, kaki bayi itu akan disuntik untuk diambil darahnya. Rumusan kajian mendapati, apabila diberikan sukrosa, bayi akan lebih tahan kepada tusukan picagari, menjadi lebih tenang, serta kurang menangis. Penemuan ini dilaporkan dalam British Medical Journal, bertarikh 10 Jun 1995.

Selain tamar, Rasulullah juga menyarankan kita memakan buah-buahan seperti buah tembikai. Abu Daud dan Tirmizi merekodkan, Aisyah berkata, "Rasulullah pernah memakan buah tembikai bersama-sama tamar basah." Tujuan baginda menggabungkan tembikai dengan tamar adalah kerana tamar bersifat hangat, manakala tembikai mendinginkan - suhu kedua-duanya akan sebati di dalam tubuh.




Seperti tamar, tembikai juga mengandungi gula (sekitar lapan peratus) dan mempunyai pelbagai mineral yang baik untuk tubuh. Antaranya, kalium yang mampu menyusutkan kolesterol di dalam darah. Lebih kurang 90 peratus daripada sebiji tembikai ialah air yang penting untuk hidrasi tubuh. Selain itu, tembikai juga mengandungi antioksidan seperti Vitamin C dan beta karotena, selain likopena yang dikatakan mampu mencegah beberapa jenis penyakit mudarat, termasuk barah. Kajian yang pernah dilakukan di Universiti Harvard melaporkan lelaki yang banyak mengambil makanan mengandungi likopena mempunyai risiko yang lebih rendah dijangkiti kanser prostat.

Buah tin dan zaitun juga merupakan buah kegemaran Rasulullah. Malah, dalam surah al-Tin juga turut difirmankan, "Demi buah tin dan buah zaitun", menunjukkan Allah bersumpah dengan buah-buahan yang menakjubkan ini. Sesungguhnya, banyak kajian tentang buah zaitun dan tin dilakukan oleh saintis dunia moden. Dr. Michael Goldacre dan para pengkaji dari Universiti Oxford pernah membuat kajian yang merumuskan buah zaitun mempunyai pelbagai manfaat, daripada mencegah serangan jantung sehinggalah mengurangkan serangan barah usus. Hal ini demikian kerana minyak zaitun menurunkan kadar asid deoxycyclic di samping mengawal rembesan enzim diamina oksidase yang merangsang pertumbuhan sel usus. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersabda, zaitun mampu mengubati 60 jenis penyakit.

Buah tin pula buah yang kaya dengan serat yang berfungsi untuk membantu penghadaman. Sebiji buah tin mengandungi 2 gram serat iaitu 20 peratus daripada keperluan seharian manusia. Seperti zaitun, buah tin turut mengandungi bahan antioksidan dan mineral yang pelbagai. 40 gram buah tin mengandungi 244 miligram kalium, 53 miligram kalsium, dan 1.2 miligram zat besi. Kadar kalsium buah tin dikatakan tertinggi berbanding buah yang lain. Antioksida fenol di dalam buah tin juga dikatakan mampu mencegah penyakit jantung dan kanser. Fitosterol pula mampu merendahkan kadar kolesterol.



Memang banyak sekali nasihat baginda Rasulullah tentang makanan berbentuk buah. Kita seperti dapat membayangkan betapa lebatnya buah-buahan di ladang Rasulullah. Rimbunan tamar, zaitun dan tin, setiap satunya buat mengisi perut dan memberikan faedah yang berganda. Kita di Malaysia amat beruntung kerana mempunyai pelbagai jenis pokok buah-buahan yang sedap-sedap belaka. Masukkanlah sebiji dua buah tamar dalam diet anda untuk manfaat kesihatan.

Sesungguhnya, betapa ajaib sebiji buah mampu menyimpan misteri dan manfaatnya yang terlalu banyak, bukan sekadar menjadi benih kepada tumbuh-tumbuhan untuk membiak dan menyebarkan zuriatnya. Turut mengagumkan betapa terkehadapannya pengetahuan yang disebarkan Nabi SAW beratus tahun dahulu, tentang buah dan pemakanan, cuma hanya kini baru dikaji dan dibuktikan oleh sains dan tamadun manusia.   

Hasil nukilan Saharil Hasrin Sanin dalam Dewan Siswa Ogos 2009.

0 reaksi:

Post a Comment














Almanak

Jom Solat

Mahakarya Nan Indah










Zulkifli - Yang Punya Kesanggupan

ZULKIFLI
ZZingy
UUntung
LLemah-lembut
KKomited
IIkhlas
FFleksibel
LLincah
IIdealistik
Apa ada pada nama?

Contributors

Pengikut Setiaku

Tetamu Dalam Talian

free counters
Powered By Blogger