Misteri Sekujur Mayat



Kita diberi otak untuk berfikir dan mulut untuk meluahkan apa-apa yang difikirkan. Kita boleh berkata-kata, berhubung dengan orang lain, menyuarakan hasrat atau menyampaikan maklumat. Dengan kata-kata itulah manusia berkomunikasi. Namun begitu, tahukah anda, setelah mati pun mayat masih mampu berkomunikasi dengan mereka yang masih bernyawa? Hal itulah misteri sekujur mayat.

Penting untuk kita yang masih hidup ini berkomunikasi dengan mayat bagi mengetahui sejarah yang berlaku kepada arwah. Hal ini lebih penting lagi jika kematian berlaku secara mengejut tanpa sesiapa menjadi saksi, dan arwah yang ditemui sudah meninggal dunia. Semasa seseorang itu masih hidup atau cedera, kita bolehlah menyoal kepadanya tentang penyakit atau penyebab kecederaannya, tetapi jika sudah meninggal dunia, cara lain harus digunakan.

Walau bagaimanapun, komunikasi dengan mayat bukanlah melibatkan kata-kata. Mayat tidak boleh menggerakkan bibir dan bersuara. Maka cara yang berbeza harus digunakan untuk berkomunikasi, iaitu dengan mengaplikasikan kaedah biologi dan kimiawi yang apabila digabungkan menjadi satu cabang ilmu sains yang dinamakan Sains Forensik.




Pakar forensik mengkaji keadaan mayat ketika dijumpai untuk mencari petunjuk tentang kematiannya serta sejarah sebelum kematian. Beberapa keadaan boleh diperiksa seperti kadar pereputan mayat, keadaan pH-nya, suhunya, baunya, selain serangga atau fauna yang wujud di sekitar mayat. Dengan menggunakan teknologi dan sains, pakar ilmu forensik dapat "berkomunikasi" dengan mayat untuk mengetahui apa-apa yang telah berlaku, sebab arwah mati dan tarikh berlakunya kematian. Maklumat seperti cara hidup, makanan kegemaran, salasilah kekeluargaan serta aktiviti harian arwah juga boleh dicungkil.

Dengan menggunakan ilmu forensik juga, para pengkaji dapat menentukan sama ada sesuatu kematian itu adalah alami (disebabkan oleh penyakit), kemalangan ataupun jenayah dan pembunuh yang berkaitan. Jikalau ada, pembunuh dapat didakwa di mahkamah dengan menggunakan bukti saintifik yang ada, lalu dihukum sewajarnya. Oleh sebab itulah cabang Sains Forensik amat penting dalam penyiasatan jenayah dan pendakwaan seperti yang dipamerkan dalam rancangan televisyen popular mutakhir ini seperti CSI, Cold Case, Law & Order, dan sebagainya.

Di Malaysia, kebiasaannya, bidang Sains Forensik dikaitkan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain. Namun begitu, kebanyakan kajian utama diserahkan oleh agensi tersebut kepada Jabatan Kimia. Hal ini demikian kerana banyak kajian forensik, termasuk komunikasi dengan mayat memerlukan kajian kimia. Di Jabatan Kimia, kajian terhadap sampel daripada mayat ada dilakukan.



Setelah seseorang meninggal dunia, tubuhnya akan serta-merta menjalani tindak balas semula jadi dalam beberapa fasa. Fasa pertama, pereputan tisu tubuh badan yang dinamakan autolisis dan akan berlanjutan sehingga beberapa hari. Pada waktu ini, mayat masih belum mengeluarkan bau. Serangga diptera seperti lalat mulai bertelur pada luka dan lipatan kulit mayat. Ketika telur-telur itu menetas, belatung atau ulat lalat akan mula memakan daging yang mereput di sekitarnya.

Dengan mengkaji panjang saiz belatung, usia ulat lalat pada mayat akan dapat dikenal pasti serta maklumat tentang tarikh kematian berlaku juga dapat ditentukan. Suhu mayat juga boleh diselidik untuk mengenal pasti tempoh kematian. Secara puratanya, setelah kematian, suhu badan akan menurun 1.5 darjah Celcius setiap jam berbanding dengan suhu tubuh yang sihat. Sebagai contoh, jika suhu badan seorang yang sihat adalah 37 darjah Celcius dan suhu tubuh sekujur mayat adalah 22 darjah, kiraan akan mendapati arwah telah meninggal dunia selama 10 jam. Jika kematian berlaku secara mengejut, menggunakan maklumat jam kematian itu, para penyiasat dapat menyelidik sesiapa yang berada bersama-sama arwah ketika beliau masih hidup. Mungkin individu tersebut ialah pembunuh yang mengakibatkan kematian arwah.

Setelah pereputan awal, sekitar empat hingga 10 hari selepas kematian, mayat akan mengalami pereputan bakteria dan pelbagai mikroorganisma akan membiak di dalam tubuh, menyebabkan pembengkakan akibat perlepasan gas respirasi mikroorganisma seperti gas amonia, karbon dioksida, hidrogen, sulfur dioksida, hidrogen sulfida dan sebagainya. Ketika itu, mayat akan mengeluarkan bau yang busuk melantung. Dengan menggunakan teknik kromatografi gas, pakar forensik dapat mengkaji gas berbau tersebut bagi menentukan tempoh kematian dan keadaan tubuh sebelum kematian.



Terdapat pelbagai bidang dalam ilmu forensik. Pakar forensik yang mengkaji gas dan kimia yang diterbitkan oleh tubuh ketika pereputan disebut Pakar Toksikologi Forensik. Selain mengkaji gas yang diterbitkan oleh mayat, sampel daripada tubuh seperti darah, rambut, air liur serta bahan buangan dapat juga dikaji. Sampel DNA juga boleh diperoleh bagi menentukan sesiapa yang hadir bersama-sama mayat ketika beliau masih bernyawa, serta dapat memastikan saudara-mara dan ahli keluarga arwah jika identiti arwah tidak dapat dikenal pasti.

Bahan-bahan kimia juga boleh dikaji bagi menentukan apa-apa yang telah dimakan oleh arwah. Contohnya, kristal rafid di dalam tubuh menunjukkan beliau memakan nanas, manakala kristal drus daripada buah-buahan sitrus seperti oren dan limau ataupun sayur bayam. Jikalau terdapat silika di dalam tubuhnya, dikatakan beliau telah menghadamkan tumbuhan seperti rebung dan gandum. Kanji menunjukkan pengambilan diet daripada kentang, keledek atau nasi. Selain itu, kajian toksikologi juga boleh menunjukkan punca kematian akibat diracun ataupun tidak. Jikalau diracun, bahan kimia racun dapat dikenal pasti dan puncanya dicari di tempat kejadian.

Pakar forensik yang memeriksa fizikal mayat pula disebut sebagai Pakar Patologi Forensik. Dengan memeriksa keadaan mayat seperti luka tikaman atau tembakan, cakar kuku, warna dan keadaan kulit serta pakaian, kedudukan tubuh dan sebagainya, maklumat yang diperoleh dapat membantu pakar forensik memahami apa-apa yang telah berlaku. Selanjutnya, jika punca kematian masih meragukan atau tidak dapat dipastikan, bedah siasat ataupun autopsi juga boleh dilakukan bagi melihat keadaan tulang-temulang serta organ dalaman.

 

  Fasa terakhir, pereputan mayat ialah proses mumifikasi ketika tisu tubuh mula mengering. Keadaan mumifikasi akan bergantung pada cuaca suhu sekitar. Seterusnya, mumifikasi akan berlanjutan kepada fasa skeletonisasi, ketika mayat kehilangan semua tisu tubuh dan hanya meninggalkan temulang. Walau dalam keadaan sedemikian rupa pun, pakar forensik boleh mengkaji tinggalan yang ada bagi menentukan kematian dan identiti arwah. Sesungguhnya komunikasi bersama-sama mayat akan berterusan sehinggalah kisah sebenar diketahui.

Dengan pelbagai rancangan televisyen yang mempamerkan cerita penyiasatan forensik, banyak remaja mula menaruh minat mahu menceburkan diri dalam bidang ini. Pada waktu ini, bagi mereka yang ingin mendalami ilmu forensik, terdapat beberapa institusi di dalam negara yang menawarkan pengajian yang berkaitan seperti ijazah sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Forensik seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Semoga dengan berkembangnya bidang forensik di negara ini, banyak orang akan mampu "berkomunikasi" dengan mayat dan hak serta keadilan kepada arwah dapat diberi.



Lakaran tinta Saharil Hasrin Sanin yang tersiar dalam Dewan Siswa Disember 2009. Dapatkannya di pasaran sekarang sementara stok masih ada.



0 reaksi:

Post a Comment














Almanak

Jom Solat

Mahakarya Nan Indah










Zulkifli - Yang Punya Kesanggupan

ZULKIFLI
ZZingy
UUntung
LLemah-lembut
KKomited
IIkhlas
FFleksibel
LLincah
IIdealistik
Apa ada pada nama?

Contributors

Pengikut Setiaku

Tetamu Dalam Talian

free counters
Powered By Blogger